Wednesday, 5 September 2012

Ciri ciri Parang Ilang


Parang Ilang atau mandau dalam masyarakat peribumi di Sarawak, bukan sahaja senjata tradisional bahkan ia salah satu budaya yang masih kekal hingga ke hari ini.
Walaupun bentuk senjata lain yang lebih maju seperti senapang patah mula diperkenalkan sejak pemerintahan British di Kepulauan Borneo, namun parang ilang kekal sebagai senjata yang penting yang dibawa semasa peperangan pada masa itu.Pada zaman dahulu, parang ilang sering dikaitkan dengan tradisi memenggal kepala atau ‘ngayau’ di kalangan kaum Dayak, khususnya semasa dalam peperangan.
Tradisi ini akhirnya melahirkan satu kepercayaan bahawa parang ilang yang sering digunakan untuk memenggal kepala adalah bertuah atau keramat.
Manakala si pemilik parang ilang tersebut dianggap mempunyai sakral atau sakti dan ini secara tidak langsung meningkatkan status sosialnya.
Namun kini, dengan hilangnya tradisi memenggal kepala sejak awal abad ke-20, parang ilang tidak lagi dianggap keramat atau mempunyai kuasa sakral. Ia tidak lebih dari senjata biasa yang digunakan untuk berburu, menebang pohon, menebas dan melakukan kerja-kerja di kebun.
Sejarah menunjukkan bahawa masyarakat di Kepulauan Borneo dahulu menggunakan parang ilang asli, yang diperbuat daripada batu gunung yang dilebur oleh tukang pembuat parang yang mahir.
Dahulu, parang ilang dihias menggunakan perak atau tembaga, ukiran dan bulu burung enggang, menjadikan parang ilang pada masa itu begitu indah dan berharga untuk dimiliki. Kepentingan parang ilang dalam masyarakat peribumi Sarawak boleh dikatakan sama dengan pentingnya dengan keris, bagi masyarakat Melayu.

No comments:

Post a Comment